Pendahuluan
Cahaya
mata, zuriat atau anak merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai bagi
pasangan yang telah medirikan rumah tangga. Maka dengan itu kelahiran disambut
dengan sangat meriah dalam masyarakat melayu. Antara upacara yang diadakan bagi
menyambut kelahiran bayi dalam masyarakat melayu ialah upacara cukur jambul.
Secara ringkas upacara cukur jambul merujuk kepada pemotongan jambul bayi yang
disertai dengan beberapa adat yang lain. Namun, persoalan timbul adakah
upacara-upacara mengikut adat ini bertepatan dengan ajaran Islam?. Oleh itu,
penulisan ini melihat kepada konsep cukur jambul dalam masyarakat melayu dan
juga upacara cukur yang disebut dan diamalkan oleh Rasulullah SAW disamping
melihat pengaruh yang membentuk adat dalam masyarakat melayu yang diwarisi
secara turun-temurun sehingga ke hari ini.
Konsep Cukur Jambul
Cukur
jambul dalam masyarakat melayu merupakan suatu majlis yang diadakan selepas 40
hari kelahiran bayi disertai dengan sembelihan akikah dan kenduri. Tempoh 40
hari diperlukan adalah untuk memberi ruang kepada si ibu untuk kembali sihat
terlebih dahulu selepas berpantang. Selain itu, majlis ini juga diikuti dengan
berzanji atau marhaban yang memuji Nabi Muhammad SAW dengan bayi diletakkan di
dalam buaian yang dihias cantik dan di bawah buaian tersebut diletakkan pisau
corek dan juga kemenyan yang diperasapkan. seterusnya bayi tadi akan didukung
dan diarak berkeliling tetamu lelaki yang sedang berzanji selalunya di ruang
tamu atau anjung rumah. Selalunya terdapat beberapa orang tetamu penting
seperti datuk kepada bayi, imam, ketua kampung mahupun bomoh akan merestui dan
mengusap jambul atau kepala bayi tersebut lalu menggunting sebahagian jambul
tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa yang telah disediakan khas.
Walau
bagaimanapun amalan cukur jambul ini yang telah menjadi warisan tradisi melayu
jelas bertetangan dengan sunah dan syariat Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tiap-tiap anak itu tergadai dengan
akikahnya yang disembelih untuk dia
ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi
nama.”
(Riwayat
Ahmad dan Tirmidzi)
Merujuk
kepada hadis di atas, ulama menyatakan bahawa Rasulullah SAW menggalakkan umat
Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya menjalankan akikah pada hari ketujuh.
Seterusnya daging akikah itu akan diagih dan dibahagikan kepada golongan fakir
miskin (Abu Hassan Din Al-Hafiz).
Abu
Hassan kemudiannya menjelaskan bahawa apa yang dilakukan oleh masyarakat melayu
semasa upacara cukur jambul bercanggah dengan apa yang dilakukan oleh
Rasulullah SAW sewaktu Baginda mencukur rambut cucunya iaitu Hasan dan Husin.
Pada hari ketujuh selepas kelahiran baginda mengadakan akikah untuk
cucu-cucunya seterusnya memberikan nama dan mencukur rambut kedua-dua cucunya.
Rambut yang telah dicukur itu kemudiannya akan ditimbang untuk menyamai nilai
perak yang kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Dalam upacara cukur
Islam, mencukur habis rambut adalah digalakkan supaya segala kekotoran yang
melekat di rambut bayi semasa berada di dalam rahim dibuang dan membolehkan
rambut yang baru tumbuh dengan sihat. Walau bagaimanapun amalan masyarakat
melayu tidak sebegitu apabila hanya sedikit jambul rambut sahaja yang dipotong.
Bahkan
menurut Islam juga pada hari ketujuh kelahiran akan dilakukan tahnik iaitu amalan memasukkan sesuatu
yang manis contohnya seperti madu lebah atau buah tamar yang telah dihancurkan
dan dipalitkan ke lelangit bayi.
Perkara-perkara
yang bertentangan dengan sunah Rasulullah SAW yang diamalkan dalam upacara cukur
jambul dalam masyarakat melayu termasuklah hari dijalankan upacara. Bagi
masyarakat melayu upacara cukur jambul dijalankan pada hari ke 40 kelahiran
bayi namun mengikut sunah perlu diadakan pada hari ketujuh kelahiran. Kedua-dua
majlis turut mengadakan majlis akikah namun di dalam sunnah tidak disertai
dengan majlis berzanji dan perarakan bayi oleh orang lelaki. Perbezaan lain
yang terdapat termasuklah hanya mencukur jambul bayi, upacara adat berendoi
iaitu dengan meletakkan bayi di dalam buaian yang dihias cantik disertai alunan
marhaban turut diadakan disamping menyapu manisan di bibir bayi.
Kesemua
perbezaan di atas jelas bertentangan dengan sunah namun masih diamalkan oleh
masyarakat melayu. Persoalannya apakah pengaruh yang menyebabkan adat tersebut kekal
dalam masyarakat melayu? Jika dilihat daripada barang-barang yang digunakan di
dalam upacara majlis cukur masyarakat melayu terdapat item-item seperti bunga
rampai, kelapa kuning yang ditebuk dan dibuangkan air, alat perenjis
menggunakan daun sireh dan beberapa jenis daun lain, beras kuning, beras putih,
air wangi dan juga bunga telur yang diberikan kepada tetamu. Berdasarkan
barangan-barangan di atas terdapat unsur-unsur pengaruh Hindu dalam upacara cukur
jambul melayu. Hal ini disebabkan oleh masyarakat melayu menerima pengaruh
agama Hindu yang lebih awal iaitu seawal abad pertama masihi (N.J Krom, 1950)
berbanding agama Islam yang datang kemudian. Menurut Al-Attas pengekalan
pengaruh Hindu dalam budaya melayu walaupun selepas Islam datang disebabkan
oleh usaha menyebarkan Islam oleh masyarakat tempatan yang masih menggunakan
tradisi Hindu yang telah diubahsuai supaya boleh diterima di dalam Islam.
Kesimpulan
Walaupun
Islam telah sampai ke Malaysia namun pengaruh-pengaruh adat yang masih
dipengaruhi oleh pegangan kepercayaan sebelum ini masih kekal dalam diri
masyarakat melayu. Selain daripada upacara cukur jambul terdapat juga adat-adat
lain yang bercanggah dengan Islam yang masih diamalkan oleh masyarakat melayu
pada hari ini antaranya adat bersanding dan menepung tawar, adat melenggang
perut bagi wanita yang mengandung dan sebagainya. Seharusnya adat-adat dan
amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam perlulah ditinggalkan bagi
mengelak kekeliruan dalam masyarakat. Hal ini kerana mematuhi tuntutan agama
itu adalah lebih penting daripada menenuhi tuntutan adat semata. Maka marilah
kita bersam-sama kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.
Rujukan:
Utusan Malaysia 6 April 2010. Buang Amalan Khurafat
Utusan Malaysia 11 September 2006. Cukur Jambul
Amalan Bidaah Orang Melayu
Mohd Zariat Abdul Rani (2005). Antara Islam dan
Hinduisme di Alam Melayu: Beberapa
Catatan
Pengkaji Barat.
Siti Salwah A. Majid (1993). Adat Cukur Rambut:
Suatu Adat Orang-Orang Melayu yang
Tidak Diamalkan Lagi.
Ismail Awang (1983). Adat Melayu yang Bertentang
dengan Akidah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan