Dunia yang berkembang pada hari ini
menyebabkan berlakunya perubahan daripada segi sosial, politik dan kebudayaan
sesuatu tempat termasuklah Malaysia. Hal ini secara tidak langsung memberi
kesan kepada perkembangan baju kurung di Malaysia. Baju kurung merupakan
pakaian tradisi masyarakat melayu yang sudah wujud sejak dahulu lagi dan banyak
dipengaruhi oleh unsur Islam terutama dalam memenuhi tuntutan menutup aurat
bagi wanita. Perkembangan dan perubahan baju kurung mengikut masa adalah selari
dengan definisi fesyen menurut Collin McDowell, pengerusi kumpulan kostum di
Britain iaitu sesuatu yang berkembang pantas mengikut peredaran zaman. Hal ini
menunjukkan bahawa fesyen juga berubah mengikut keadaan sosial, politik dan
kebudayaan sesuatu tempat. Maka tidak hairanlah jika baju kurung juga mengalami
transformasi mengikut perkembangan fesyen semasa.
Oleh itu, penulisan ini adalah
bertujuan untuk melihat perkembangan baju kurung melayu sebagai busana muslimah
wanita melayu daripada aspek epistemologi. Penulisan ini akan dibahagikan
kepada empat bahagian. Bahagian pertama membincangkan perkembangan pakaian wanita melayu sedari awal. Bahagian
kedua menerangkan jenis-jenis baju kurung. Bahagia ketiga membincangkan epistemologi
baju kurung dan transformasi pakaian wanita melayu di Malaysia dan bahagian
keempat adalah kesimpulan.
Perkembangan pakaian wanita
di Malaysia
Sebelum zaman awal kerajaan Melayu iaitu di sekitar
abad sebelum abad ke 13 wanita melayu hanya memakai kain sarung dengan melilit
tubuh atau berkemban dengan kain sarung atau kain panjang sehingga paras dada
dan berkelubung di bahagian dada ke atas. Jika dilihat pakaian pada masa itu
mirip pakaian keagamaan Hindu dan Buddha menunjukkan bahawa terdapat
unsur-unsur Hindu Buddha yang masih kuat dalam pakaian ketika itu yang mana masih
tidak memenuhi tuntutan menutup aurat Islam.
Perkembangan awal pakaian di Malaysia banyak
dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam selepas abad ke 13 apabila masyarakat melayu
mula menghayati nilai-nilai Islam serta tuntutan menutup aurat. Hal ini dapat
dilihat apabila pakaian-pakaian melayu mula menyerupai pakaian arab seperti
jubah dan sebagainya. Kemuncak evolusi pakaian muslimah berlaku pada zaman
kesulatanan Melayu Melaka apabila baju melayu telah dilabuhkan dan dibesarkan
di bahagian lengan menjadi baju kurung yang menyerupai jubah arab.
Hal ini menunjukkan bahawa baju kurung bagi wanita
merupakan kesinambungan daripada baju melayu lelaki. Jika dilihat daripada
aspek pola dan bentuk perbezaan baju kurung dan baju melayu hanyalah dari aspek
panjang dan pendek yang mana baju kurung merupakan baju melayu yang telah
dilabuhkan.
Proses evolusi pakaian wanita melayu tidak terhad
kepada pengaruh Islam sahaja malahan turut dipengaruhi oleh kesan penjajahan
Inggeris di Tanah Melayu. Kesan jelas terutama dapat dilihat dalam kalangan
golongan bangsawan walaupun baju kurung masih dikekalkan dalam bentuk yang
labuh dan longgar namun baju kurung mula dipadankan dengan kain ikatan ‘ombak
mengalun’ seperti yang dapat di lihat pada hari ini. Selain daripada baju
kurung terdapat juga baju labuh yang berbelah di hadapan iaitu baju kebaya dan
penggunaan aksesori seperti kerongsang mula dipadankan pada pakaian.
Walau bagaimanapun, konsep pemakaian baju kurung itu
masih kekal sehingga ke hari ini iaitu baju yang labuh dan longgar yang dipadankan
dengan pemakaian kain ikatan. Jika sebelum ini baju kurung hanya dipadankan
dengan kain batik.
Jenis-Jenis Baju Kurung
Terdapat beberapa jenis baju kurung di Malaysia dan
antara yang utama adalah seperti berikut:
Baju
Kurung Teluk Belanga
Baju kurung teluk belanga berkonsepkan potongan baju
kurung biasa tetapi mempunyai leher baju yang bulat dan berbelah di bahagian
tengah. Berdasarkan buku pakaian patut melayu oleh Dato’ Haji Muhammad Said
Haji Sulaiman pakaian baju kurung yang ada pada hari ini berasal dari negeri
Johor. Hal ini kerana baju kurung teluk belanga ini telah dipakai sejak zaman
pemerintahan Al-Marhum Sultan Abu Bakar iaitu pada tahun 1800 di Teluk Belanga,
Singapura.
Baju
Kurung Cekak Musang
Berkonsepkan baju kurung biasa namun perbezaannya
ditambah leher berdiri yang dipanggil cekak musang ataupun baju wan. Baju
kurung teluk belanga dipengaruhi oleh baju gamis atau kamis iaitu jubah jemah
haji yang pulang dari Makkah.
Baju
Kurung Moden
Baju kurung moden merupakan evolusi baju kurung
tradisional yang digubah supaya kelihatan kemas dan menarik di mana rekaannya
tidak longgar seperti baju kurung tradisional. Baju kurung moden mempunyai
jahitan kekek dan pesak pada bahagian sisi baju. Walau bagaimanapun ciri utama
baju kurung masih dikekalkan iaitu masih berlengan panjang dan dipadankan
dengan kain sarung.
Epistemologi Baju
Kurung dan Transformasi Pakaian Wanita Melayu
Menurut Frank Swettenham, penggunaan kain sarung
oleh orang melayu telah bermula sekitar tahun 1921 lagi dan dipadankan dengan
baju longgar yang labuh iaitu merujuk kepada baju kurung yang sangat popular
dalam kalangan wanita pada masa tersebut.
Walau bagaimanapun asal usul kemunculan baju kurung
melayu dan pemakai awalnya sukar ditentukan kerana terdapat pelbagai etnik di
wilayah nusantara yang menggunakan rekaan asalnya.(dipetik daripada Haziyah
Hussin dalam Archjadi, 1986).
Dipetik daripada Haziyah Hussin dalam evolusi dan
tipologi pakaian wanita melayu di semenanjung Malaysia (2009) berpandukan
kepada maklumat yang diperoleh dalam Archjadi (1986), baju kurung telah
diperkenalkan di Indonesia oleh Pedagang Islam dan India. Baju kurung ini
mempunyai potongan yang telah menerima pengaruh timur tengah seperti yang dapat
dilihat melalui potongan leher yang berbentuk tunik iaitu bentuk leher yang
dipakai oleh orang arab pada zaman silam.
Pada zaman kegemilangan melayu Melaka dikatakan
orang melayu telah mempunyai pakaian baju kurung iaitu baju kurung asal yang
direka sendat lalu dikenali sebagai baju kurung sendat. Hal ini menunjukkan
perbezaan di antara baju kurung asal yang ketat dan singkat dengan baju kurung
semasa yang lebih longgar dan labuh. Dipetik daripada Haziyah Hussin 2009,
merujuk kepada sejarah melayu menyatakan bahawa Tun Hassan Temenggung merupakan
orang yang awal mengubah reka bentuk baju kurung yang asal kepada reka bentuk
baju kurung yang dipakai kini.
Sebelum kemerdekaan Negara pada tahun 1957, pakaian
popular dalam kalangan wanita melayu ialah kebaya pendek yang merupakan pakaian
mengikut bentuk badan yang dihasilkan menggunakan fabrik nipis dan juga jarang
seperti kain kasa dan kasa rubia yang mempunyai motif atau corak-corak
tertentu. Contohnya seperti yang dapat diperhatikan dalam filem-filem melayu
lama.
Selepas kemerdekaan diantara tahun 1957 sehingga
1999, pakaian wanita melayu dikaitkan dengan a-go-go iaitu zaman perubahan kepada pakaian moden yang dipengaruhi
oleh musik a-go-go daripada barat.
Pada zaman ini pakaian wanita melayu lebih kepada berbentuk mini skirt dan juga
baju gaun. Penerimaan budaya barat yang tinggi telah merevolusi baju kurung
daripada berbentuk tradisional kepada moden. Antara ciri-ciri baju kurung moden
pada masa tersebut ialah lebih seksi, mendedahkan bahagian leher serta
mempunyai zip di bahagian belakang yang telah menerima pengaruh pakaian gaun
dari barat disamping dipakai dengan kain ketat yang berbelah di bahagian belakang
untuk memudahkan pergerakan.
Walau bagaimanapun, pengaruh barat tersebut berjaya
disekat menjelang tahun 1980 apabila tahun ini dianggap sebagai tahun kesedaran
masyarakat melayu Islam. Hal ini berlaku apabila masyarakat kembali memilih
pakaian yang mematuhi tuntutan menutup aurat daripada pakaian-pakaian tradisi
yang diterima dalam masyarakat melayu yang beragama Islam terutamanya baju
kurung. Perubahan besar dapat dilihat apabila berlaku transisi daripada baju
kurung ketat kepada suatu bentuk kurung moden yang lebih longgar dan sopan.
Menjelang tahun 1990 pula, evolusi baju kurung
berlaku lagi. Pada kali ini baju-baju kurung mula dihiasi dengan pelbagai jenis
sulaman, manik dan juga labuci yang digunakan untuk menambah daya penarik baju
kurung. Seterusnya pada tahun 1992 pula, trend atau gaya ropol pula menghiasi
baju-baju kurung pilihan wanita di Malaysia. pelbagai jenis ropol muncul
seperti ropol jenis sederet dan juga dilepak setepek.
Sekitar tahun 2000 sehingga kini baju kurung masih
kekal sebagai pakaian wanita melayu tetapi aksesori yang digunakan untuk
menghias pakaian ini telah bertukar kepada aksesori-aksesori daripada korea.
Skop pemakaian baju kurung juga terhad kepada majlis-majlis formal sahaja
walaupun pemakaiannya tidak dihalang. Wanita melayu masih bebas memakai baju
kurung pada bila-bila masa dan di mana sahaja namun perkembangan dunia fesyen
memperlihatkan pemadanan beg tangan dan kasut tumit tinggi bersama-sama baju
kurung bagi menunjukkan perubahan dalam pemilihan gaya berpakaian.
Kesimpulan
Penerangan dari aspek epistemologi baju kurung dengan
melihat kepada asal usul baju kurung secara langsung telah menunjukkan nilai
baju kurung sebagai warisan melayu yang tidak ternilai. Hal ini secara tidak
langsung menunjukkan bahawa baju kurung mampu menjadi identiti dan perlambangan
kepada Islam itu sendiri apabila memenuhi tuntutan menutup aurat muslimah dan
dipakai oleh muslimah di Malaysia. Asal usul dan perkembangan pakaian wanita melayu
telah menerima pelbagai pengaruh namun bentuk dan pola rekaannya masih sama
menunjukkan kelestarian baju kurung itu terpelihara. Sehingga ke hari ini, baju
kurung masih lagi menjadi pilihan utama wanita melayu namun gaya dan skop
pemakaiannya mungkin berbeza sesuai dengan peredaran zaman. Walau bagaimanapun,
perkembangan tersebut masih lagi berlandaskan peraturan Islam dalam memenuhi
tuntutan menutup aurat.
Rujukan:
Abbas dan Norwani (2003). Pakaian
Melayu: Sepanjang zaman. Diterbitkan oleh Dewan
Bahasa
dan Pustaka.
Azah Aziz (2006). Rupa dan Gaya
Busana Busana Melayu. Diterbitkan oleh penerbit UKM
Haji Mohd Sa’ad Haji Sulaiman
(2008). Pakai Patut Melayu. Diterbitkan oleh penerbit UKM
Haziyah Hussin (2009). Evolusi dan
Tipologi Pakaian Wanita Melayu di Semenanjung
Malaysia.
Haziyah Hussin (2009). Motif
Tenunan Melayu: Penambahan dan Kesinambungan
Haziyah Hussin (2010). Pandai
Busana Baju Kurung
huraian yang sangat bernas,, dengan penjelasan yang teratur saya dapat memahami apa yang en hairi ingin sampaikan ini, terbaik!!!
BalasPadamBorgata Hotel Casino & Spa, Atlantic City - Mapyro
BalasPadamFind your way around the 제천 출장마사지 casino, find out where 대전광역 출장안마 to 여주 출장마사지 stay, and what's 김제 출장안마 popular with families and visitors. Rating: 군산 출장마사지 7/10 · 1,811 reviews · Price range: $$