Lebihan berat badan atau obesiti merujuk kepada keadaan lebihan berat badan
yang tidak seimbang dengan ketinggian. Lelaki
dikatakan obes sekiranya mempunyai kadar lemak berlebihan sebanyak 25 peratus.
Manakala wanita pula di katakan obes apabila lebihan lemak sebanyak 35 peratus.
Obesiti boleh di ukur menggunakan pengiraan Body
Mass Index atau BMI (Indeks Jisim Badan) iaitu indeks pengukuran berat
badan berbanding dengan ketinggian (MyHEALTH,
Kementerian Kesihatan Malaysia).
Di Malaysia, Menurut kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) pada tahun 2010, Malaysia merupakan negara yang mempunyai paling
ramai penduduk yang gemuk di Asia Tenggara dan berada di tempat keenam di
seluruh Asia. Sesetengah rakyat Malaysia tahu betapa seriusnya penyakit ini,
namun masih ramai yang tidak menyedari akan bahayanya. Hasil Kajian Kesihatan
dan Morbiditi Kebangsaan, atau NHMS pada tahun 1996 hingga 2011 mendapati
bahawa kadar obesiti telah meningkat kepada hampir tiga setengah kali ganda,
daripada 4.4 peratus pada tahun 1996 kepada 15.1 peratus pada tahun 2011.
Manakala prevalens lebih berat badan
pula meningkat kepada 29.4 peratus pada tahun 2011, menjadikan kira-kira 50
peratus atau satu daripada dua orang dewasa di Malaysia adalah sama ada lebih
berat badan atau obes (Tee E Siong, 2014).
Selain daripada berlaku dalam kalangan dewasa masalah obesiti juga berlaku
dalam kalangan kanak-kanak yang dikenali sebagai epidemik obesiti. Menurut International Association for the study of
Obesity (IASO,2009) terdapat lebih 155 juta kanak-kanak sekolah di seluruh
dunia mengalami epidemik obesiti dan dikatakan kanak-kanak ini merupakan
golongan pertama yang akan memiliki jangka hayat yang lebih rendah berbanding
ibu bapa mereka dan Menurut laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2006, sebanyak 38 peratus kanak-kanak di Malaysia adalah penghidap
obesiti. Obesiti dalam kalangan kanak-kanak berbeza dengan obesiti
dalam kalangan dewasa. Hal ini kerana komposisi lemak antara dewasa dan
kanak-kanak adalah berbeza. Bagi mengesan obesiti dalam kalangan kanak-kanak American
Academy of Paediatrics menyarankan
agar penggunaan Body Mass Index (BMI) bermula sejak dari umur dua tahun ke
atas. Penggunaan BMI mengikut peratusan umur perlu digunakan untuk mentafsir
angka yang telah mengambil kira jantina dan umur kanak-kanak tersebut. Walau
bagaimanapun, untuk menentukan sekiranya kanak-kanak tersebut mengalami masalah
berat badan berlebihan, suatu penilaian lebih lanjut perlu dilakukan, seperti
mengukur ketebalan kulit yang berlipat-lipat dan juga mendapatkan sejarah
pemakanan kanak-kanak, aktiviti fizikal malahan sejarah keluarga.
Kanak-kanak montel sememangnya comel dilihat, namun di sebalik kecomelan
tersebut tersembunyi kesan-kesan negatif yang kurang diberikan perhatian oleh masyarakat.
Antara kesan obesiti dalam kalangan kanak-kanak ialah kecenderungan untuk mempunyai
berat badan berlebihan atau obes apabila dewasa kelak. Keadaan ini akan membawa
kepada peningkatan risiko pada masa hadapan seperti kesukaran untuk bernafas,
risiko tulang patah, tekanan darah tinggi, rintangan insulin dan kesan
psikologi (kurang keyakinan diri). Terdapat beberapa faktor yang mendorong
kepada obesiti dalam kalangan kanak-kanak antaranya ialah gaya hidup, pemilihan
pemakanan, genetik, dan juga kekurangan kesedaran tentang obesiti dalam
kalangan kanak-kanak oleh penjaganya.
Penjagaan kesihatan badan juga merupakan sebahagian daripada pembangunan insaniah.
Hal ini dijelaskan oleh Muhammad Hilmi Jalil dan Fakhrul Adabi Abdul Kadir
(2013) yang menemukan elemen penjagaan kesihatan badan sebagai keperluan
pembangunan insaniah melalui penelitian karya Hamka. Dalam konteks tersebut,
pencegahan obesiti juga merupakan sebahagian daripada penjagaan kesihatan
badan. Oleh itu, dalam penjagaan kesihatan anak-anak peranan yang penting perlu
dimainkan oleh ibu bapa. Secara asasnya,
pendidikan pemakanan dibentuk oleh kedua ibu bapa, keluarga atau orang yang menjaga
anak-anak sejak daripada kecil. Segala aspek bermula daripada pemilihan
makanan, tabiat, cara makan dan jenis makanan adalah dicontohi daripada apa
yang diberikan, dibentuk dan ditunjukkan oleh ibu bapa. Kemudian barulah
faktor-faktor luaran memainkan peranan dalam membentuk tabiat pemakanan
anak-anak contohnya di sekolah, mereka mungkin terpengaruh dengan kawan-kawan
dan juga persekitaran yang mereka lalui. Tetapi di rumah, ahli keluarga dan
persekitaran rumah adalah penting dalam mencorakkan pola pemakanan anak-anak.
Oleh itu, ibu bapa seharusnya mempunyai pengetahuan yang cukup berkaitan
pemakanan agar anak-anak menerima pemakanan yang sihat dan seimbang bagi
mengelakkan obesiti berlaku. Hal ini kerana pembinaan jasmani manusia
memerlukan kepada makanan yang halal dan baik (Mohd Shafiee Hamzah, 2012).
Selain itu, genetik juga memainkan peranan dalam menentukan jika
kanak-kanak akan mengalami berat badan berlebihan atau obes. Satu kajian
menunjukkan bahawa jika kedua ibu bapa obes, terdapat 70 peratus peluang untuk
anak-anak mereka juga menjadi obes. Jika hanya ibu atau bapa adalah obes,
kebarangkaliannya adalah 50 peratus. Jika kedua-dua ibu bapa mempunyai berat
badan yang normal, masih terdapat peluang sebanyak 10 peratus untuk kanak-kanak
menjadi obesiti. Walau bagaimanapun, meletakkan kesalahan kepada faktor genetik
semata adalah tidak adil kerana obesiti bukanlah disebabkan oleh genetik
sahaja, tetapi juga dipengaruhi oleh budaya masyarakat. Budaya semasa masyarakat yang gemarkan makanan berkalori tinggi
contohnya nasi lemak, roti canai, teh tarik dan makanan segera turut menyumbang
kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Corak pemakanan yang tidak
sihat dan pemakanan secara berlebihan boleh menyebabkan kesihatan badan menurun
dan anggota badan tidak mampu berfungsi dengan sebaiknya (Mohd Shafiee Hamzah,
2012). Namun begitu, perkara ini masih lagi boleh dielakkan sekiranya kawalan
dalam pengambilan makanan tersebut secara berlebihan dan kerap boleh dilakukan.
Pengambilan makanan secara berlebihan adalah ditegah berdasarkan firman Allah
SWT dalam surah al-A‘arf ayat 32 yang bermaksud:
“Makan dan minumlah, tetap jangan berlebih-lebihan,
sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan” (Surah al-A‘arf,
:32
Oleh itu, pengawalan daripada ibu bapa amatlah
diperlukan bagi membendung pemakanan yang tidak sihat juga pemakanan secara
berlebihan dalam kalangan anak-anak.
Selain itu, pengaruh persekitaran seperti rakan
sebaya juga memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada permasalahan
obesiti kanak-kanak. Jika di
sekolah, anak-anak berada di luar pengaruh dan kawalan ibu bapa, oleh itu,
rakan sebaya dan persekitaran mempengaruhi anak-anak dalam memilih sesuatu
makanan. Di sekolah, pemilihan makanan yang berkhasiat adalah terhad. Apatah
lagi, jika pembekal makanan di sekolah lebih suka menjual makanan ringan. Pengambilan
makanan ringan yang berlebihan akan menyumbang lebih banyak kalori dan
mengehadkan pengambilan makanan berkhasiat yang lain. Senario ini kerap berlaku
dalam kalangan kanak-kanak, dan mereka lebih cenderung untuk menghabiskan wang
belanja harian semata-mata untuk membeli makanan ringan berbanding makanan
berkhasiat yang lain. Pengambilan kalori yang tinggi, gula dan garam berlebihan
akan menyumbang kepada masalah obesiti kanak-kanak. Seharusnya, permasalahan
sebegini diberi perhatian serius oleh ibu bapa, pihak sekolah dan juga pembekal
makanan di sekolah. Kawalan dan pemantauan terhadap bekalan makanan ringan dan
minuman yang tidak baik untuk kesihatan harus dipertingkatkan malah makanan
yang tidak berkhasiat perlu diberhentikan penjualannya kerana menurut Muhammad Hilmi Jalil dan Fakhrul Adabi
Abdul Kadir (2013) kanak-kanak seharusnya diberikan makanan yang menyihatkan badan dan
tidak makan makanan yang boleh merosakkan badan selain daripada hanya makanan
yang dibenarkan oleh agama.
Di samping pelan pemakanan yang sihat, anak-anak
juga perlu diterapkan latihan fizikal seperti bersukan bagi menjamin kesihatan
tubuh badan (Muhammad Hilmi
Jalil dan Fakhrul Adabi Abdul Kadir, 2013) dan bukan
sekadar menghabiskan masa terluang di hadapan televisyen dan komputer. Memiliki
badan yang sihat juga ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya riwayat
Muslim yang bermaksud:
“orang mukmin yang kuat
lebih baik dan lebih disukai Allah daripada mukmin yang lemah” (Hadis Riwayat Muslim,
Nombor Hadith: 2664)
Pergerakan fizikal yang kurang akan menyebabkan penggunaan tenaga yang agak
minimum dan ketidakseimbangan kalori atau lebihan kalori berlaku sekali gus
menyebabkan obesiti. Ibu bapa seharusnya menggalakkan anak-anak untuk beriadah
contohnya dengan membawa anak-anak ke taman permainan pada setiap petang.
Kesimpulannya, Ibu bapa yang memiliki anak-anak
obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan
unggul adalah satu perkara yang sukar dan memerlukan kefahaman yang mantap terhadap
permasalahan ini. Penekanan tabiat pemakanan yang sihat bukan sahaja perlu
diterapkan kepada anak-anak malah perlu dilakukan bermula daripada peringkat
ibu bapa itu sendiri. Selain itu, pengamalan sikap mencegah lebih baik daripada
mengubati adalah perlu untuk mencegah penyakit yang bakal timbul akibat daripada
masalah obesiti generasi masa kini dengan menerapkan amalan pemakanan sihat dan
gaya hidup sihat. Kanak-kanak yang obes mempunyai kebarangkalian yang tinggi
untuk menjadi obes apabila meningkat dewasa ataupun mengalami berat badan
berlebihan sepanjang hayat mereka jika tidak dirawat dan dipantau. Oleh itu, semuanya
bermula daripada ibu bapa sebagai individu utama dalam pendidikan pemakanan anak-anak.
Justeru, peranan ibu bapa dalam menilai keperluan pemakanan sihat anak-anak
pada hari ini perlu diberikan perhatian.
Rujukan:
Alina Abdul
Rahim (2010). Pemakanan Islam Penjana
Kanak-Kanak Pintar. Malaysia: Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia.
Mohd Shafiee
Hamzah (2012). Konsep Perekayasaan Modal
Insan Menurut Sayyid Qutb: Analisis Terhadap Fi Zilal al-Quran. Tesis
Ijazah Doktor Falsafah Universitit Malaya (UM). Tidak Diterbitkan.
Muhammad Hilmi Jalil dan
Fakhrul Adabi Abdul Kadir (2013). Kepentingan Kesihatan Diri dalam Pembangunan
Insan: Analisis Karya Falsafah Hamka. Jurnal
Hadhari. 5 (2), 53-66.
Gaya Hidup Yakult (2013). Bahaya Obesiti. Isu Nombor 20,
November 2013.
Dr. Alya Hamzah (2014). Obesiti di Kalangan Anak-Anak. The
Malaysian Medical Gazette. Diakses pada 4 November 2014 daripada http://www.mmgazette.com/obesiti-di-kalangan-kanak-kanak-dr-alya-hamzah/
MyHEALTH Kementerian Kesihatan
Malaysia (2014). Kegemukan (Obesiti). Diakses pada 4 November 2014
daripada http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/kegemukan-obesiti
Mohd Yazid Bin Deraman (2013). Amalan Pemakanan untuk Gaya Hidup Sihat
Menurut Perspektif Islam. Diakses pada 4 November 2014 daripada http://ketuajabatanpendidikanjasmani.blogspot.com/2013/05/amalan-pemakanan-untuk-gaya-hidup.html
Norkumala Binti Awang (t.t). Benarkah Iklan Mempengaruhi Selera Anak-Anak.
Diakses pada 4 November 2014 daripada http://www.ikim.gov.my/index.php/en/artikel/8214-bernarkah-iklan-mempengaruhi-selera-kanak-kanak
Norkumala Binti Awang (t.t). Amalan Pemakanan Nabi: Sihat dan Berkhasiat.
Diakses pada 4 November 2014 daripada http://www.ikim.gov.my/index.php/en/artikel/7716-amalan-pemakanan-nabi-sihat-dan-berkhasiat
Norkumala Binti Awang (t.t). Makanan dan Pemakanan dalam Islam.
Diakses pada 4 November 2014 daripada http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7312-makanan-dan-pemakanan-dalam-islam
Tee E Siong (2014). Makan Sihat, Bergerak Aktif, Cegah Obesiti.
Diakses Pada 4 November 2014 daripada http://nutritionmonthmalaysia.org.my/wp-content/uploads/2014/02/nmm-2014-fight-obesity-guidebook.pdf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan