Rabu, 4 Disember 2013

Baju Kurung dan Pakaian Wanita Melayu

Dunia yang berkembang pada hari ini menyebabkan berlakunya perubahan daripada segi sosial, politik dan kebudayaan sesuatu tempat termasuklah Malaysia. Hal ini secara tidak langsung memberi kesan kepada perkembangan baju kurung di Malaysia. Baju kurung merupakan pakaian tradisi masyarakat melayu yang sudah wujud sejak dahulu lagi dan banyak dipengaruhi oleh unsur Islam terutama dalam memenuhi tuntutan menutup aurat bagi wanita. Perkembangan dan perubahan baju kurung mengikut masa adalah selari dengan definisi fesyen menurut Collin McDowell, pengerusi kumpulan kostum di Britain iaitu sesuatu yang berkembang pantas mengikut peredaran zaman. Hal ini menunjukkan bahawa fesyen juga berubah mengikut keadaan sosial, politik dan kebudayaan sesuatu tempat. Maka tidak hairanlah jika baju kurung juga mengalami transformasi mengikut perkembangan fesyen semasa.
Oleh itu, penulisan ini adalah bertujuan untuk melihat perkembangan baju kurung melayu sebagai busana muslimah wanita melayu daripada aspek epistemologi. Penulisan ini akan dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian pertama membincangkan perkembangan  pakaian wanita melayu sedari awal. Bahagian kedua menerangkan jenis-jenis baju kurung. Bahagia ketiga membincangkan epistemologi baju kurung dan transformasi pakaian wanita melayu di Malaysia dan bahagian keempat adalah kesimpulan.
Perkembangan pakaian wanita di Malaysia

Sebelum zaman awal kerajaan Melayu iaitu di sekitar abad sebelum abad ke 13 wanita melayu hanya memakai kain sarung dengan melilit tubuh atau berkemban dengan kain sarung atau kain panjang sehingga paras dada dan berkelubung di bahagian dada ke atas. Jika dilihat pakaian pada masa itu mirip pakaian keagamaan Hindu dan Buddha menunjukkan bahawa terdapat unsur-unsur Hindu Buddha yang masih kuat dalam pakaian ketika itu yang mana masih tidak memenuhi tuntutan menutup aurat Islam.

Perkembangan awal pakaian di Malaysia banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam selepas abad ke 13 apabila masyarakat melayu mula menghayati nilai-nilai Islam serta tuntutan menutup aurat. Hal ini dapat dilihat apabila pakaian-pakaian melayu mula menyerupai pakaian arab seperti jubah dan sebagainya. Kemuncak evolusi pakaian muslimah berlaku pada zaman kesulatanan Melayu Melaka apabila baju melayu telah dilabuhkan dan dibesarkan di bahagian lengan menjadi baju kurung yang menyerupai jubah arab.

Hal ini menunjukkan bahawa baju kurung bagi wanita merupakan kesinambungan daripada baju melayu lelaki. Jika dilihat daripada aspek pola dan bentuk perbezaan baju kurung dan baju melayu hanyalah dari aspek panjang dan pendek yang mana baju kurung merupakan baju melayu yang telah dilabuhkan.

Proses evolusi pakaian wanita melayu tidak terhad kepada pengaruh Islam sahaja malahan turut dipengaruhi oleh kesan penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Kesan jelas terutama dapat dilihat dalam kalangan golongan bangsawan walaupun baju kurung masih dikekalkan dalam bentuk yang labuh dan longgar namun baju kurung mula dipadankan dengan kain ikatan ‘ombak mengalun’ seperti yang dapat di lihat pada hari ini. Selain daripada baju kurung terdapat juga baju labuh yang berbelah di hadapan iaitu baju kebaya dan penggunaan aksesori seperti kerongsang mula dipadankan pada pakaian.

Walau bagaimanapun, konsep pemakaian baju kurung itu masih kekal sehingga ke hari ini iaitu baju yang labuh dan longgar yang dipadankan dengan pemakaian kain ikatan. Jika sebelum ini baju kurung hanya dipadankan dengan kain batik.

Jenis-Jenis Baju Kurung

Terdapat beberapa jenis baju kurung di Malaysia dan antara yang utama adalah seperti berikut:

Baju Kurung Teluk Belanga
Baju kurung teluk belanga berkonsepkan potongan baju kurung biasa tetapi mempunyai leher baju yang bulat dan berbelah di bahagian tengah. Berdasarkan buku pakaian patut melayu oleh Dato’ Haji Muhammad Said Haji Sulaiman pakaian baju kurung yang ada pada hari ini berasal dari negeri Johor. Hal ini kerana baju kurung teluk belanga ini telah dipakai sejak zaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Abu Bakar iaitu pada tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura.

Baju Kurung Cekak Musang
Berkonsepkan baju kurung biasa namun perbezaannya ditambah leher berdiri yang dipanggil cekak musang ataupun baju wan. Baju kurung teluk belanga dipengaruhi oleh baju gamis atau kamis iaitu jubah jemah haji yang pulang dari Makkah.

Baju Kurung Moden
Baju kurung moden merupakan evolusi baju kurung tradisional yang digubah supaya kelihatan kemas dan menarik di mana rekaannya tidak longgar seperti baju kurung tradisional. Baju kurung moden mempunyai jahitan kekek dan pesak pada bahagian sisi baju. Walau bagaimanapun ciri utama baju kurung masih dikekalkan iaitu masih berlengan panjang dan dipadankan dengan kain sarung.

Epistemologi Baju Kurung dan Transformasi Pakaian Wanita Melayu

Menurut Frank Swettenham, penggunaan kain sarung oleh orang melayu telah bermula sekitar tahun 1921 lagi dan dipadankan dengan baju longgar yang labuh iaitu merujuk kepada baju kurung yang sangat popular dalam kalangan wanita pada masa tersebut.

Walau bagaimanapun asal usul kemunculan baju kurung melayu dan pemakai awalnya sukar ditentukan kerana terdapat pelbagai etnik di wilayah nusantara yang menggunakan rekaan asalnya.(dipetik daripada Haziyah Hussin dalam Archjadi, 1986).

Dipetik daripada Haziyah Hussin dalam evolusi dan tipologi pakaian wanita melayu di semenanjung Malaysia (2009) berpandukan kepada maklumat yang diperoleh dalam Archjadi (1986), baju kurung telah diperkenalkan di Indonesia oleh Pedagang Islam dan India. Baju kurung ini mempunyai potongan yang telah menerima pengaruh timur tengah seperti yang dapat dilihat melalui potongan leher yang berbentuk tunik iaitu bentuk leher yang dipakai oleh orang arab pada zaman silam.

Pada zaman kegemilangan melayu Melaka dikatakan orang melayu telah mempunyai pakaian baju kurung iaitu baju kurung asal yang direka sendat lalu dikenali sebagai baju kurung sendat. Hal ini menunjukkan perbezaan di antara baju kurung asal yang ketat dan singkat dengan baju kurung semasa yang lebih longgar dan labuh. Dipetik daripada Haziyah Hussin 2009, merujuk kepada sejarah melayu menyatakan bahawa Tun Hassan Temenggung merupakan orang yang awal mengubah reka bentuk baju kurung yang asal kepada reka bentuk baju kurung yang dipakai kini.

Sebelum kemerdekaan Negara pada tahun 1957, pakaian popular dalam kalangan wanita melayu ialah kebaya pendek yang merupakan pakaian mengikut bentuk badan yang dihasilkan menggunakan fabrik nipis dan juga jarang seperti kain kasa dan kasa rubia yang mempunyai motif atau corak-corak tertentu. Contohnya seperti yang dapat diperhatikan dalam filem-filem melayu lama.

Selepas kemerdekaan diantara tahun 1957 sehingga 1999, pakaian wanita melayu dikaitkan dengan a-go-go iaitu zaman perubahan kepada pakaian moden yang dipengaruhi oleh musik a-go-go daripada barat. Pada zaman ini pakaian wanita melayu lebih kepada berbentuk mini skirt dan juga baju gaun. Penerimaan budaya barat yang tinggi telah merevolusi baju kurung daripada berbentuk tradisional kepada moden. Antara ciri-ciri baju kurung moden pada masa tersebut ialah lebih seksi, mendedahkan bahagian leher serta mempunyai zip di bahagian belakang yang telah menerima pengaruh pakaian gaun dari barat disamping dipakai dengan kain ketat yang berbelah di bahagian belakang untuk memudahkan pergerakan.

Walau bagaimanapun, pengaruh barat tersebut berjaya disekat menjelang tahun 1980 apabila tahun ini dianggap sebagai tahun kesedaran masyarakat melayu Islam. Hal ini berlaku apabila masyarakat kembali memilih pakaian yang mematuhi tuntutan menutup aurat daripada pakaian-pakaian tradisi yang diterima dalam masyarakat melayu yang beragama Islam terutamanya baju kurung. Perubahan besar dapat dilihat apabila berlaku transisi daripada baju kurung ketat kepada suatu bentuk kurung moden yang lebih longgar dan sopan.

Menjelang tahun 1990 pula, evolusi baju kurung berlaku lagi. Pada kali ini baju-baju kurung mula dihiasi dengan pelbagai jenis sulaman, manik dan juga labuci yang digunakan untuk menambah daya penarik baju kurung. Seterusnya pada tahun 1992 pula, trend atau gaya ropol pula menghiasi baju-baju kurung pilihan wanita di Malaysia. pelbagai jenis ropol muncul seperti ropol jenis sederet dan juga dilepak setepek.

Sekitar tahun 2000 sehingga kini baju kurung masih kekal sebagai pakaian wanita melayu tetapi aksesori yang digunakan untuk menghias pakaian ini telah bertukar kepada aksesori-aksesori daripada korea. Skop pemakaian baju kurung juga terhad kepada majlis-majlis formal sahaja walaupun pemakaiannya tidak dihalang. Wanita melayu masih bebas memakai baju kurung pada bila-bila masa dan di mana sahaja namun perkembangan dunia fesyen memperlihatkan pemadanan beg tangan dan kasut tumit tinggi bersama-sama baju kurung bagi menunjukkan perubahan dalam pemilihan gaya berpakaian.

Kesimpulan

Penerangan dari aspek epistemologi baju kurung dengan melihat kepada asal usul baju kurung secara langsung telah menunjukkan nilai baju kurung sebagai warisan melayu yang tidak ternilai. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa baju kurung mampu menjadi identiti dan perlambangan kepada Islam itu sendiri apabila memenuhi tuntutan menutup aurat muslimah dan dipakai oleh muslimah di Malaysia. Asal usul dan perkembangan pakaian wanita melayu telah menerima pelbagai pengaruh namun bentuk dan pola rekaannya masih sama menunjukkan kelestarian baju kurung itu terpelihara. Sehingga ke hari ini, baju kurung masih lagi menjadi pilihan utama wanita melayu namun gaya dan skop pemakaiannya mungkin berbeza sesuai dengan peredaran zaman. Walau bagaimanapun, perkembangan tersebut masih lagi berlandaskan peraturan Islam dalam memenuhi tuntutan menutup aurat.

Rujukan:
Abbas dan Norwani (2003). Pakaian Melayu: Sepanjang zaman. Diterbitkan oleh Dewan
            Bahasa dan Pustaka.

Azah Aziz (2006). Rupa dan Gaya Busana Busana Melayu. Diterbitkan oleh penerbit UKM

Haji Mohd Sa’ad Haji Sulaiman (2008). Pakai Patut Melayu. Diterbitkan oleh penerbit UKM

Haziyah Hussin (2009). Evolusi dan Tipologi Pakaian Wanita Melayu di Semenanjung
            Malaysia.

Haziyah Hussin (2009). Motif Tenunan Melayu: Penambahan dan Kesinambungan


Haziyah Hussin (2010). Pandai Busana Baju Kurung

2 ulasan:

  1. huraian yang sangat bernas,, dengan penjelasan yang teratur saya dapat memahami apa yang en hairi ingin sampaikan ini, terbaik!!!

    BalasPadam
  2. Borgata Hotel Casino & Spa, Atlantic City - Mapyro
    Find your way around the 제천 출장마사지 casino, find out where 대전광역 출장안마 to 여주 출장마사지 stay, and what's 김제 출장안마 popular with families and visitors. Rating: 군산 출장마사지 7/10 · ‎1,811 reviews · ‎Price range: $$

    BalasPadam