Khamis, 20 November 2014

UMP Aku Datang

USM - PENANG - PAHANG - GAMBANG - UMP

Pada 19/11 haritu, aku dapat jemputan menduduki ujian khas di UMP. Mula-mula nak pi ngan member naik kereta. Plan punya plan, tapi dia plak ada hal pada tarikh tersebut. Maka aku terpaksalah tukar plan daripada naik kereta kepada naik bas.

Mula-mula tu pening gak sebab x pernah lagi naik bas dari Penang ke Kuantan ni.. lagi satu hal plak, UMP tu kat Gambang bukan kat area Bandar Kuantan tu.. tu lagi pening.

Ada lebih kurang tiga plan yang aku buat tuk perjalanan aku kali ni:

1) Naik bas ke Kuantan malam 17/11 (Isnin) dan tido kat mana-mana homestay atau hotel yang dapat kat area Gambang tu. Esoknya 18/11 rehat, 19/11 pi ujian tu n malam 19/11 tu balik Penang semula. search punya search ada la satu homestay dekat UMP tu betul-betul kat area Kolej Kediaman 4 iaitu di seberang jalan UMP je. nama homestay tu Gambang Perdana Boutique House. nak info lebih lanjut tentang homestay ni leh rujuk page FB dekat link ni ok Gambang Perdana Boutique Homestay

2) Naik bas ke Kuantan 18/11 (selasa) turun pagi tu kat UMP sebab bas selalu keluar dari tol Gambang. UMP tu plak betul-betul lepas tol gambang tu je.. So leh la turun kat situ daripada terus ke kuantan dan kena patah balik ke Gambang kan. Tumpang masjid UMP atau mana-mana surau dulu tuk segarkan diri sebelum ujian. Pastu 19/11 malam tu cadang nak singgah Temerloh rumah member dan esok pagi 20/11 cadang nak ke KL dulu sebab nak pi beli barang sket pastu baru gerak ke Penang dari KL.. hahahah kira dalam plan kedua ni banyak benda la aku nak wat. 

3) Naik bas ke kuantan 18/11 (selasa) turun pagi kat UMP. Malam 19/11 tu terus balik Penang.

Fikir punya fikir, cadangan 1 ditolak sebab kekangan masa hari selasa tu ada keje sket nak setel dan jugak kos agak tinggi sebab duk homestay tu semalam rate RM150 kot.. x berbaloi tanggung sorang-sorang lak tu.

Cadangan kedua plak ditolak jugak sebab member lak bgtau die x de kat rumah pada tarikh tersebut. Jadi automatik plan nak singgah KL tu pun batal.

Nak x nak tinggal je la cadangan 3 yang aku tanpa ragu-ragu lagi pun pilih.

So, bergerak la aku nak beli tiket bas ke kuantan tuk 18/11 malam ke kuantan dan 19/11 malam ke Penang. alhamdulillah nasib ade tiket walaupun beli last minit hari Isnin 17/11 tu. Nak beli tiket bas ni lau dalam USM leh je pi dekat UniTaqwa kat Uptown Mall USM. Macam2 tiket bas ke semua destinasi kat Malaysia ni ada. Boleh jugak beli tiket pergi dan balik. Serius beli tiket bas kat sini lagi selesa dan mudah kot. jadi student-student USM tu x payah la semangat sangat nak pi beli tiket bas kat sungai nibong tu.

Menurut brader kat UniTaqwa tu ade 3 bas je yang akan pi Kuantan dari Sungai Nibong iaitu bas Konsortium, Ekonomi ekspress dan Shamisha. kebetulan lak bas konsortium x gerak malam selasa (ni brader tu yang cakap eh) jadi aku naik bas ekonomi ekspress kul 10 malam dari Sungai Nibong. Kenape x naik bas Shamisha? hahahahah brader tu x suggest naik Shamisha sbb bas ni slalu tukar-tukar. perkara ni diperakukan oleh beberapa org member yang pernah naik bas shamisha ke kuantan dan Penang. 


Dengan semangatnya aku pun pi la kat Sungai Nibong 18/19 malam tu kul 9.30. Bas masuk ke terminal jam 10 malam. Disebabkan dah panas aku duk dekat luar maka teruslah aku naik bas. Dari Sungai Nibong ade 6 orang je yang naik. 2 orang lagi hilang tanpa dikesan.. Tungu punya tunggu akhirnya dah nak dekat kul 11 baru bas gerak. biasa la bas kat sini, tiket kul 10 tp kul 11 baru gerak. dah biasa dah dengan semua benda ni. Bila dah gerak ingatkan terus la ke kuantan tapi rupa-rupanya ada lagi penumpang kat Butterworth.. So pegi la plak ambik dorg tu kat sana. 

Dalam perjalanan tu apa lagi aku pun tido je la sepanjang masa. Maklum la, esok pagi-pagi dah nak kena ujian lari kan. Tengah syok-syok tido tu nasib baiklah terjaga betul-betul masa bas masuk ke susur keluar Gambang. dah sampai kat tol Gambang aku pun nak la pi bagitau driver yang aku nak turun kat UMP tetiba ada sorg makcik terlebih dahulu dah pi cakap.. aku pun relax je la wat dono. 

Mula-mula tu risau gak nak turun kat UMP tu sebab ade member cakap kadang-kadang bas x keluar ikut tol gambang tu. Jadi sebelum bas gerak check dulu dgn driver bas. Kalau die x ikut tol gambang pun aku memang dah bersedia dgn plan kecemasan iaitu naik bas rapid Kuantan dari Kuantan ke UMP. Tapi nasib baiklah bas aku tu lalu tol Gambang leh la aku turun kat UMP terus.




Lebih kurang 6.10 minit pagi aku sampai kat UMP.. Lau nak turun sini cakap je kat driver bas tu nak turun kat bus stop UMP nanti driver tolong berhentikan kat situ. Bus Stop ni betul-betul depan bangunan CANSELERI ni. Nasib baik pagar die ada bukak sket jd leh la aku menyelit masuk. Dah macam penceroboh pun ade aku rasa. Tengok-tengok pondok keselamatan UMP tu xde orang pun aku pun redah je la. 

Misi aku pagi tu mencari tandas dan surau tuk bersiap. Pusing-pusing jugak lah tp Alhamdulillah aku jumpa gak surau dan kat belakang blok pentadbiran. Dekat ngan Dewan CENFED dan Makmal Berpusat.




Selesai solat subuh dan bersiap aku pun nak gerak cari Blok W tu kat mana. Kebetulan ada sorg student UMP dalam surau tu. Aku pun tanyalah kat mana Blok W tu. Jauh jugak la sebab budak tu pun bagi direction jauh.. hahahaha.. Maka aku pun berjalan la merentasi bangunan kilang (dulu) yang warna biru tu, tp sekarang ni dah jd makmal dah. Jalan-jalan dengan beg berat tu nak berpeluh gak aku. Pasni dah la ade ujian larian 2.4km.. tp aku sblum lari dah tawaf satu UMP tu. hahahah 

Akhirnya aku berjumpa dengan board ni kat depan Kolej Kediaman 3 




Nampak tak Blok W tu.. so aku pun follow je la anak panah tu. kat board ni pun aku jumpa bus stop tuk aku naik bas ke Bandar Kuantan petang nanti sebab kebetulan aku lalu situ ada bas rapid kuantan berhenti. 


Inilah Bus stop bas Rapid Kuantan kat KK3. Jadi aku pun teruskanlah perjalanan sehinggalah sampai ke Blok W


Sampai kat Blok W ade la gerai jual makanan ni.. tapi aku x beli pun sebab pasni nak lari jd takut termuntah la plak kan. hahahah.. tp respect sangat student-student kat sini. gerai ni x ada orang jaga pun. dorg datang pilih makanan dan letak je duit dalam kotak yang disediakan. nanti tuan kedai just dtg collect duit je. jujur giler kot.. impress aku. USM leh wat camni x???

Rasa cukup sampai di sini saja kot.. entry seterusnya aku akan ajar camne nak pi Bandar Kuantan dan Terminal Sentral Indera Mahkota dengan rapid Kuantan.











Isnin, 17 November 2014

PERANAN IBU BAPA MENCEGAH OBESITI DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Lebihan berat badan atau obesiti merujuk kepada keadaan lebihan berat badan yang tidak seimbang dengan ketinggian. Lelaki dikatakan obes sekiranya mempunyai kadar lemak berlebihan sebanyak 25 peratus. Manakala wanita pula di katakan obes apabila lebihan lemak sebanyak 35 peratus. Obesiti boleh di ukur menggunakan pengiraan Body Mass Index atau BMI (Indeks Jisim Badan) iaitu indeks pengukuran berat badan berbanding dengan ketinggian (MyHEALTH, Kementerian Kesihatan Malaysia).

Di Malaysia, Menurut kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2010, Malaysia merupakan negara yang mempunyai paling ramai penduduk yang gemuk di Asia Tenggara dan berada di tempat keenam di seluruh Asia. Sesetengah rakyat Malaysia tahu betapa seriusnya penyakit ini, namun masih ramai yang tidak menyedari akan bahayanya. Hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, atau NHMS pada tahun 1996 hingga 2011 mendapati bahawa kadar obesiti telah meningkat kepada hampir tiga setengah kali ganda, daripada 4.4 peratus pada tahun 1996 kepada 15.1 peratus pada tahun 2011. Manakala prevalens lebih berat badan pula meningkat kepada 29.4 peratus pada tahun 2011, menjadikan kira-kira 50 peratus atau satu daripada dua orang dewasa di Malaysia adalah sama ada lebih berat badan atau obes (Tee E Siong, 2014).

Selain daripada berlaku dalam kalangan dewasa masalah obesiti juga berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang dikenali sebagai epidemik obesiti. Menurut International Association for the study of Obesity (IASO,2009) terdapat lebih 155 juta kanak-kanak sekolah di seluruh dunia mengalami epidemik obesiti dan dikatakan kanak-kanak ini merupakan golongan pertama yang akan memiliki jangka hayat yang lebih rendah berbanding ibu bapa mereka dan Menurut laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2006, sebanyak 38 peratus kanak-kanak di Malaysia adalah penghidap obesiti. Obesiti dalam kalangan kanak-kanak berbeza dengan obesiti dalam kalangan dewasa. Hal ini kerana komposisi lemak antara dewasa dan kanak-kanak adalah berbeza. Bagi mengesan obesiti dalam kalangan kanak-kanak American Academy of Paediatrics menyarankan agar penggunaan Body Mass Index (BMI) bermula sejak dari umur dua tahun ke atas. Penggunaan BMI mengikut peratusan umur perlu digunakan untuk mentafsir angka yang telah mengambil kira jantina dan umur kanak-kanak tersebut. Walau bagaimanapun, untuk menentukan sekiranya kanak-kanak tersebut mengalami masalah berat badan berlebihan, suatu penilaian lebih lanjut perlu dilakukan, seperti mengukur ketebalan kulit yang berlipat-lipat dan juga mendapatkan sejarah pemakanan kanak-kanak, aktiviti fizikal malahan sejarah keluarga.

Kanak-kanak montel sememangnya comel dilihat, namun di sebalik kecomelan tersebut tersembunyi kesan-kesan negatif yang kurang diberikan perhatian oleh masyarakat. Antara kesan obesiti dalam kalangan kanak-kanak ialah kecenderungan untuk mempunyai berat badan berlebihan atau obes apabila dewasa kelak. Keadaan ini akan membawa kepada peningkatan risiko pada masa hadapan seperti kesukaran untuk bernafas, risiko tulang patah, tekanan darah tinggi, rintangan insulin dan kesan psikologi (kurang keyakinan diri). Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada obesiti dalam kalangan kanak-kanak antaranya ialah gaya hidup, pemilihan pemakanan, genetik, dan juga kekurangan kesedaran tentang obesiti dalam kalangan kanak-kanak oleh penjaganya.

Penjagaan kesihatan badan juga merupakan sebahagian daripada pembangunan insaniah. Hal ini dijelaskan oleh Muhammad Hilmi Jalil dan Fakhrul Adabi Abdul Kadir (2013) yang menemukan elemen penjagaan kesihatan badan sebagai keperluan pembangunan insaniah melalui penelitian karya Hamka. Dalam konteks tersebut, pencegahan obesiti juga merupakan sebahagian daripada penjagaan kesihatan badan. Oleh itu, dalam penjagaan kesihatan anak-anak peranan yang penting perlu dimainkan oleh ibu bapa. Secara asasnya, pendidikan pemakanan dibentuk oleh kedua ibu bapa, keluarga atau orang yang menjaga anak-anak sejak daripada kecil. Segala aspek bermula daripada pemilihan makanan, tabiat, cara makan dan jenis makanan adalah dicontohi daripada apa yang diberikan, dibentuk dan ditunjukkan oleh ibu bapa. Kemudian barulah faktor-faktor luaran memainkan peranan dalam membentuk tabiat pemakanan anak-anak contohnya di sekolah, mereka mungkin terpengaruh dengan kawan-kawan dan juga persekitaran yang mereka lalui. Tetapi di rumah, ahli keluarga dan persekitaran rumah adalah penting dalam mencorakkan pola pemakanan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa seharusnya mempunyai pengetahuan yang cukup berkaitan pemakanan agar anak-anak menerima pemakanan yang sihat dan seimbang bagi mengelakkan obesiti berlaku. Hal ini kerana pembinaan jasmani manusia memerlukan kepada makanan yang halal dan baik (Mohd Shafiee Hamzah, 2012).

Selain itu, genetik juga memainkan peranan dalam menentukan jika kanak-kanak akan mengalami berat badan berlebihan atau obes. Satu kajian menunjukkan bahawa jika kedua ibu bapa obes, terdapat 70 peratus peluang untuk anak-anak mereka juga menjadi obes. Jika hanya ibu atau bapa adalah obes, kebarangkaliannya adalah 50 peratus. Jika kedua-dua ibu bapa mempunyai berat badan yang normal, masih terdapat peluang sebanyak 10 peratus untuk kanak-kanak menjadi obesiti. Walau bagaimanapun, meletakkan kesalahan kepada faktor genetik semata adalah tidak adil kerana obesiti bukanlah disebabkan oleh genetik sahaja, tetapi juga dipengaruhi oleh budaya masyarakat. Budaya semasa masyarakat yang gemarkan makanan berkalori tinggi contohnya nasi lemak, roti canai, teh tarik dan makanan segera turut menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Corak pemakanan yang tidak sihat dan pemakanan secara berlebihan boleh menyebabkan kesihatan badan menurun dan anggota badan tidak mampu berfungsi dengan sebaiknya (Mohd Shafiee Hamzah, 2012). Namun begitu, perkara ini masih lagi boleh dielakkan sekiranya kawalan dalam pengambilan makanan tersebut secara berlebihan dan kerap boleh dilakukan. Pengambilan makanan secara berlebihan adalah ditegah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-A‘arf ayat 32 yang bermaksud:

“Makan dan minumlah, tetap jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan” (Surah al-A‘arf, :32

Oleh itu, pengawalan daripada ibu bapa amatlah diperlukan bagi membendung pemakanan yang tidak sihat juga pemakanan secara berlebihan dalam kalangan anak-anak.  

Selain itu, pengaruh persekitaran seperti rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada permasalahan obesiti kanak-kanak. Jika di sekolah, anak-anak berada di luar pengaruh dan kawalan ibu bapa, oleh itu, rakan sebaya dan persekitaran mempengaruhi anak-anak dalam memilih sesuatu makanan. Di sekolah, pemilihan makanan yang berkhasiat adalah terhad. Apatah lagi, jika pembekal makanan di sekolah lebih suka menjual makanan ringan. Pengambilan makanan ringan yang berlebihan akan menyumbang lebih banyak kalori dan mengehadkan pengambilan makanan berkhasiat yang lain. Senario ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak, dan mereka lebih cenderung untuk menghabiskan wang belanja harian semata-mata untuk membeli makanan ringan berbanding makanan berkhasiat yang lain. Pengambilan kalori yang tinggi, gula dan garam berlebihan akan menyumbang kepada masalah obesiti kanak-kanak. Seharusnya, permasalahan sebegini diberi perhatian serius oleh ibu bapa, pihak sekolah dan juga pembekal makanan di sekolah. Kawalan dan pemantauan terhadap bekalan makanan ringan dan minuman yang tidak baik untuk kesihatan harus dipertingkatkan malah makanan yang tidak berkhasiat perlu diberhentikan penjualannya kerana menurut Muhammad Hilmi Jalil dan Fakhrul Adabi Abdul Kadir (2013) kanak-kanak seharusnya diberikan makanan yang menyihatkan badan dan tidak makan makanan yang boleh merosakkan badan selain daripada hanya makanan yang dibenarkan oleh agama.

Di samping pelan pemakanan yang sihat, anak-anak juga perlu diterapkan latihan fizikal seperti bersukan bagi menjamin kesihatan tubuh badan (Muhammad Hilmi Jalil dan Fakhrul Adabi Abdul Kadir, 2013) dan bukan sekadar menghabiskan masa terluang di hadapan televisyen dan komputer. Memiliki badan yang sihat juga ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya riwayat Muslim yang bermaksud:

“orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada mukmin yang lemah” (Hadis Riwayat Muslim, Nombor Hadith: 2664)

Pergerakan fizikal yang kurang akan menyebabkan penggunaan tenaga yang agak minimum dan ketidakseimbangan kalori atau lebihan kalori berlaku sekali gus menyebabkan obesiti. Ibu bapa seharusnya menggalakkan anak-anak untuk beriadah contohnya dengan membawa anak-anak ke taman permainan pada setiap petang.

Kesimpulannya, Ibu bapa yang memiliki anak-anak obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul adalah satu perkara yang sukar dan memerlukan kefahaman yang mantap terhadap permasalahan ini. Penekanan tabiat pemakanan yang sihat bukan sahaja perlu diterapkan kepada anak-anak malah perlu dilakukan bermula daripada peringkat ibu bapa itu sendiri. Selain itu, pengamalan sikap mencegah lebih baik daripada mengubati adalah perlu untuk mencegah penyakit yang bakal timbul akibat daripada masalah obesiti generasi masa kini dengan menerapkan amalan pemakanan sihat dan gaya hidup sihat. Kanak-kanak yang obes mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menjadi obes apabila meningkat dewasa ataupun mengalami berat badan berlebihan sepanjang hayat mereka jika tidak dirawat dan dipantau. Oleh itu, semuanya bermula daripada ibu bapa sebagai individu utama dalam pendidikan pemakanan anak-anak. Justeru, peranan ibu bapa dalam menilai keperluan pemakanan sihat anak-anak pada hari ini perlu diberikan perhatian.


Rujukan:

Alina Abdul Rahim (2010). Pemakanan Islam Penjana Kanak-Kanak Pintar. Malaysia: Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia.

Mohd Shafiee Hamzah (2012). Konsep Perekayasaan Modal Insan Menurut Sayyid Qutb: Analisis Terhadap Fi Zilal al-Quran. Tesis Ijazah Doktor Falsafah Universitit Malaya (UM). Tidak Diterbitkan.

Muhammad Hilmi Jalil dan Fakhrul Adabi Abdul Kadir (2013). Kepentingan Kesihatan Diri dalam Pembangunan Insan: Analisis Karya Falsafah Hamka. Jurnal Hadhari. 5 (2), 53-66.

Gaya Hidup Yakult (2013). Bahaya Obesiti. Isu Nombor 20, November 2013.

Dr. Alya Hamzah (2014). Obesiti di Kalangan Anak-Anak. The Malaysian Medical Gazette. Diakses pada 4 November 2014 daripada http://www.mmgazette.com/obesiti-di-kalangan-kanak-kanak-dr-alya-hamzah/

MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia (2014). Kegemukan (Obesiti). Diakses pada 4 November 2014 daripada http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/kegemukan-obesiti

Mohd Yazid Bin Deraman (2013). Amalan Pemakanan untuk Gaya Hidup Sihat Menurut Perspektif Islam. Diakses pada 4 November 2014 daripada http://ketuajabatanpendidikanjasmani.blogspot.com/2013/05/amalan-pemakanan-untuk-gaya-hidup.html

Norkumala Binti Awang (t.t). Benarkah Iklan Mempengaruhi Selera Anak-Anak. Diakses pada 4 November 2014 daripada http://www.ikim.gov.my/index.php/en/artikel/8214-bernarkah-iklan-mempengaruhi-selera-kanak-kanak

Norkumala Binti Awang (t.t). Amalan Pemakanan Nabi: Sihat dan Berkhasiat. Diakses pada 4 November 2014 daripada http://www.ikim.gov.my/index.php/en/artikel/7716-amalan-pemakanan-nabi-sihat-dan-berkhasiat

Norkumala Binti Awang (t.t). Makanan dan Pemakanan dalam Islam. Diakses pada 4 November 2014 daripada http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7312-makanan-dan-pemakanan-dalam-islam


Tee E Siong (2014). Makan Sihat, Bergerak Aktif, Cegah Obesiti. Diakses Pada 4 November 2014 daripada http://nutritionmonthmalaysia.org.my/wp-content/uploads/2014/02/nmm-2014-fight-obesity-guidebook.pdf

Rabu, 4 Disember 2013

Baju Kurung dan Pakaian Wanita Melayu

Dunia yang berkembang pada hari ini menyebabkan berlakunya perubahan daripada segi sosial, politik dan kebudayaan sesuatu tempat termasuklah Malaysia. Hal ini secara tidak langsung memberi kesan kepada perkembangan baju kurung di Malaysia. Baju kurung merupakan pakaian tradisi masyarakat melayu yang sudah wujud sejak dahulu lagi dan banyak dipengaruhi oleh unsur Islam terutama dalam memenuhi tuntutan menutup aurat bagi wanita. Perkembangan dan perubahan baju kurung mengikut masa adalah selari dengan definisi fesyen menurut Collin McDowell, pengerusi kumpulan kostum di Britain iaitu sesuatu yang berkembang pantas mengikut peredaran zaman. Hal ini menunjukkan bahawa fesyen juga berubah mengikut keadaan sosial, politik dan kebudayaan sesuatu tempat. Maka tidak hairanlah jika baju kurung juga mengalami transformasi mengikut perkembangan fesyen semasa.
Oleh itu, penulisan ini adalah bertujuan untuk melihat perkembangan baju kurung melayu sebagai busana muslimah wanita melayu daripada aspek epistemologi. Penulisan ini akan dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian pertama membincangkan perkembangan  pakaian wanita melayu sedari awal. Bahagian kedua menerangkan jenis-jenis baju kurung. Bahagia ketiga membincangkan epistemologi baju kurung dan transformasi pakaian wanita melayu di Malaysia dan bahagian keempat adalah kesimpulan.
Perkembangan pakaian wanita di Malaysia

Sebelum zaman awal kerajaan Melayu iaitu di sekitar abad sebelum abad ke 13 wanita melayu hanya memakai kain sarung dengan melilit tubuh atau berkemban dengan kain sarung atau kain panjang sehingga paras dada dan berkelubung di bahagian dada ke atas. Jika dilihat pakaian pada masa itu mirip pakaian keagamaan Hindu dan Buddha menunjukkan bahawa terdapat unsur-unsur Hindu Buddha yang masih kuat dalam pakaian ketika itu yang mana masih tidak memenuhi tuntutan menutup aurat Islam.

Perkembangan awal pakaian di Malaysia banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam selepas abad ke 13 apabila masyarakat melayu mula menghayati nilai-nilai Islam serta tuntutan menutup aurat. Hal ini dapat dilihat apabila pakaian-pakaian melayu mula menyerupai pakaian arab seperti jubah dan sebagainya. Kemuncak evolusi pakaian muslimah berlaku pada zaman kesulatanan Melayu Melaka apabila baju melayu telah dilabuhkan dan dibesarkan di bahagian lengan menjadi baju kurung yang menyerupai jubah arab.

Hal ini menunjukkan bahawa baju kurung bagi wanita merupakan kesinambungan daripada baju melayu lelaki. Jika dilihat daripada aspek pola dan bentuk perbezaan baju kurung dan baju melayu hanyalah dari aspek panjang dan pendek yang mana baju kurung merupakan baju melayu yang telah dilabuhkan.

Proses evolusi pakaian wanita melayu tidak terhad kepada pengaruh Islam sahaja malahan turut dipengaruhi oleh kesan penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Kesan jelas terutama dapat dilihat dalam kalangan golongan bangsawan walaupun baju kurung masih dikekalkan dalam bentuk yang labuh dan longgar namun baju kurung mula dipadankan dengan kain ikatan ‘ombak mengalun’ seperti yang dapat di lihat pada hari ini. Selain daripada baju kurung terdapat juga baju labuh yang berbelah di hadapan iaitu baju kebaya dan penggunaan aksesori seperti kerongsang mula dipadankan pada pakaian.

Walau bagaimanapun, konsep pemakaian baju kurung itu masih kekal sehingga ke hari ini iaitu baju yang labuh dan longgar yang dipadankan dengan pemakaian kain ikatan. Jika sebelum ini baju kurung hanya dipadankan dengan kain batik.

Jenis-Jenis Baju Kurung

Terdapat beberapa jenis baju kurung di Malaysia dan antara yang utama adalah seperti berikut:

Baju Kurung Teluk Belanga
Baju kurung teluk belanga berkonsepkan potongan baju kurung biasa tetapi mempunyai leher baju yang bulat dan berbelah di bahagian tengah. Berdasarkan buku pakaian patut melayu oleh Dato’ Haji Muhammad Said Haji Sulaiman pakaian baju kurung yang ada pada hari ini berasal dari negeri Johor. Hal ini kerana baju kurung teluk belanga ini telah dipakai sejak zaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Abu Bakar iaitu pada tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura.

Baju Kurung Cekak Musang
Berkonsepkan baju kurung biasa namun perbezaannya ditambah leher berdiri yang dipanggil cekak musang ataupun baju wan. Baju kurung teluk belanga dipengaruhi oleh baju gamis atau kamis iaitu jubah jemah haji yang pulang dari Makkah.

Baju Kurung Moden
Baju kurung moden merupakan evolusi baju kurung tradisional yang digubah supaya kelihatan kemas dan menarik di mana rekaannya tidak longgar seperti baju kurung tradisional. Baju kurung moden mempunyai jahitan kekek dan pesak pada bahagian sisi baju. Walau bagaimanapun ciri utama baju kurung masih dikekalkan iaitu masih berlengan panjang dan dipadankan dengan kain sarung.

Epistemologi Baju Kurung dan Transformasi Pakaian Wanita Melayu

Menurut Frank Swettenham, penggunaan kain sarung oleh orang melayu telah bermula sekitar tahun 1921 lagi dan dipadankan dengan baju longgar yang labuh iaitu merujuk kepada baju kurung yang sangat popular dalam kalangan wanita pada masa tersebut.

Walau bagaimanapun asal usul kemunculan baju kurung melayu dan pemakai awalnya sukar ditentukan kerana terdapat pelbagai etnik di wilayah nusantara yang menggunakan rekaan asalnya.(dipetik daripada Haziyah Hussin dalam Archjadi, 1986).

Dipetik daripada Haziyah Hussin dalam evolusi dan tipologi pakaian wanita melayu di semenanjung Malaysia (2009) berpandukan kepada maklumat yang diperoleh dalam Archjadi (1986), baju kurung telah diperkenalkan di Indonesia oleh Pedagang Islam dan India. Baju kurung ini mempunyai potongan yang telah menerima pengaruh timur tengah seperti yang dapat dilihat melalui potongan leher yang berbentuk tunik iaitu bentuk leher yang dipakai oleh orang arab pada zaman silam.

Pada zaman kegemilangan melayu Melaka dikatakan orang melayu telah mempunyai pakaian baju kurung iaitu baju kurung asal yang direka sendat lalu dikenali sebagai baju kurung sendat. Hal ini menunjukkan perbezaan di antara baju kurung asal yang ketat dan singkat dengan baju kurung semasa yang lebih longgar dan labuh. Dipetik daripada Haziyah Hussin 2009, merujuk kepada sejarah melayu menyatakan bahawa Tun Hassan Temenggung merupakan orang yang awal mengubah reka bentuk baju kurung yang asal kepada reka bentuk baju kurung yang dipakai kini.

Sebelum kemerdekaan Negara pada tahun 1957, pakaian popular dalam kalangan wanita melayu ialah kebaya pendek yang merupakan pakaian mengikut bentuk badan yang dihasilkan menggunakan fabrik nipis dan juga jarang seperti kain kasa dan kasa rubia yang mempunyai motif atau corak-corak tertentu. Contohnya seperti yang dapat diperhatikan dalam filem-filem melayu lama.

Selepas kemerdekaan diantara tahun 1957 sehingga 1999, pakaian wanita melayu dikaitkan dengan a-go-go iaitu zaman perubahan kepada pakaian moden yang dipengaruhi oleh musik a-go-go daripada barat. Pada zaman ini pakaian wanita melayu lebih kepada berbentuk mini skirt dan juga baju gaun. Penerimaan budaya barat yang tinggi telah merevolusi baju kurung daripada berbentuk tradisional kepada moden. Antara ciri-ciri baju kurung moden pada masa tersebut ialah lebih seksi, mendedahkan bahagian leher serta mempunyai zip di bahagian belakang yang telah menerima pengaruh pakaian gaun dari barat disamping dipakai dengan kain ketat yang berbelah di bahagian belakang untuk memudahkan pergerakan.

Walau bagaimanapun, pengaruh barat tersebut berjaya disekat menjelang tahun 1980 apabila tahun ini dianggap sebagai tahun kesedaran masyarakat melayu Islam. Hal ini berlaku apabila masyarakat kembali memilih pakaian yang mematuhi tuntutan menutup aurat daripada pakaian-pakaian tradisi yang diterima dalam masyarakat melayu yang beragama Islam terutamanya baju kurung. Perubahan besar dapat dilihat apabila berlaku transisi daripada baju kurung ketat kepada suatu bentuk kurung moden yang lebih longgar dan sopan.

Menjelang tahun 1990 pula, evolusi baju kurung berlaku lagi. Pada kali ini baju-baju kurung mula dihiasi dengan pelbagai jenis sulaman, manik dan juga labuci yang digunakan untuk menambah daya penarik baju kurung. Seterusnya pada tahun 1992 pula, trend atau gaya ropol pula menghiasi baju-baju kurung pilihan wanita di Malaysia. pelbagai jenis ropol muncul seperti ropol jenis sederet dan juga dilepak setepek.

Sekitar tahun 2000 sehingga kini baju kurung masih kekal sebagai pakaian wanita melayu tetapi aksesori yang digunakan untuk menghias pakaian ini telah bertukar kepada aksesori-aksesori daripada korea. Skop pemakaian baju kurung juga terhad kepada majlis-majlis formal sahaja walaupun pemakaiannya tidak dihalang. Wanita melayu masih bebas memakai baju kurung pada bila-bila masa dan di mana sahaja namun perkembangan dunia fesyen memperlihatkan pemadanan beg tangan dan kasut tumit tinggi bersama-sama baju kurung bagi menunjukkan perubahan dalam pemilihan gaya berpakaian.

Kesimpulan

Penerangan dari aspek epistemologi baju kurung dengan melihat kepada asal usul baju kurung secara langsung telah menunjukkan nilai baju kurung sebagai warisan melayu yang tidak ternilai. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa baju kurung mampu menjadi identiti dan perlambangan kepada Islam itu sendiri apabila memenuhi tuntutan menutup aurat muslimah dan dipakai oleh muslimah di Malaysia. Asal usul dan perkembangan pakaian wanita melayu telah menerima pelbagai pengaruh namun bentuk dan pola rekaannya masih sama menunjukkan kelestarian baju kurung itu terpelihara. Sehingga ke hari ini, baju kurung masih lagi menjadi pilihan utama wanita melayu namun gaya dan skop pemakaiannya mungkin berbeza sesuai dengan peredaran zaman. Walau bagaimanapun, perkembangan tersebut masih lagi berlandaskan peraturan Islam dalam memenuhi tuntutan menutup aurat.

Rujukan:
Abbas dan Norwani (2003). Pakaian Melayu: Sepanjang zaman. Diterbitkan oleh Dewan
            Bahasa dan Pustaka.

Azah Aziz (2006). Rupa dan Gaya Busana Busana Melayu. Diterbitkan oleh penerbit UKM

Haji Mohd Sa’ad Haji Sulaiman (2008). Pakai Patut Melayu. Diterbitkan oleh penerbit UKM

Haziyah Hussin (2009). Evolusi dan Tipologi Pakaian Wanita Melayu di Semenanjung
            Malaysia.

Haziyah Hussin (2009). Motif Tenunan Melayu: Penambahan dan Kesinambungan


Haziyah Hussin (2010). Pandai Busana Baju Kurung

Budaya Cukur Jambul Masyarakat Melayu

Pendahuluan

Cahaya mata, zuriat atau anak merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai bagi pasangan yang telah medirikan rumah tangga. Maka dengan itu kelahiran disambut dengan sangat meriah dalam masyarakat melayu. Antara upacara yang diadakan bagi menyambut kelahiran bayi dalam masyarakat melayu ialah upacara cukur jambul. Secara ringkas upacara cukur jambul merujuk kepada pemotongan jambul bayi yang disertai dengan beberapa adat yang lain. Namun, persoalan timbul adakah upacara-upacara mengikut adat ini bertepatan dengan ajaran Islam?. Oleh itu, penulisan ini melihat kepada konsep cukur jambul dalam masyarakat melayu dan juga upacara cukur yang disebut dan diamalkan oleh Rasulullah SAW disamping melihat pengaruh yang membentuk adat dalam masyarakat melayu yang diwarisi secara turun-temurun sehingga ke hari ini.

Konsep Cukur Jambul

Cukur jambul dalam masyarakat melayu merupakan suatu majlis yang diadakan selepas 40 hari kelahiran bayi disertai dengan sembelihan akikah dan kenduri. Tempoh 40 hari diperlukan adalah untuk memberi ruang kepada si ibu untuk kembali sihat terlebih dahulu selepas berpantang. Selain itu, majlis ini juga diikuti dengan berzanji atau marhaban yang memuji Nabi Muhammad SAW dengan bayi diletakkan di dalam buaian yang dihias cantik dan di bawah buaian tersebut diletakkan pisau corek dan juga kemenyan yang diperasapkan. seterusnya bayi tadi akan didukung dan diarak berkeliling tetamu lelaki yang sedang berzanji selalunya di ruang tamu atau anjung rumah. Selalunya terdapat beberapa orang tetamu penting seperti datuk kepada bayi, imam, ketua kampung mahupun bomoh akan merestui dan mengusap jambul atau kepala bayi tersebut lalu menggunting sebahagian jambul tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa yang telah disediakan khas.
Walau bagaimanapun amalan cukur jambul ini yang telah menjadi warisan tradisi melayu jelas bertetangan dengan sunah dan syariat Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda:


“Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia
 ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.”
                                                                                                  (Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Merujuk kepada hadis di atas, ulama menyatakan bahawa Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya menjalankan akikah pada hari ketujuh. Seterusnya daging akikah itu akan diagih dan dibahagikan kepada golongan fakir miskin (Abu Hassan Din Al-Hafiz).
Abu Hassan kemudiannya menjelaskan bahawa apa yang dilakukan oleh masyarakat melayu semasa upacara cukur jambul bercanggah dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sewaktu Baginda mencukur rambut cucunya iaitu Hasan dan Husin. Pada hari ketujuh selepas kelahiran baginda mengadakan akikah untuk cucu-cucunya seterusnya memberikan nama dan mencukur rambut kedua-dua cucunya. Rambut yang telah dicukur itu kemudiannya akan ditimbang untuk menyamai nilai perak yang kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Dalam upacara cukur Islam, mencukur habis rambut adalah digalakkan supaya segala kekotoran yang melekat di rambut bayi semasa berada di dalam rahim dibuang dan membolehkan rambut yang baru tumbuh dengan sihat. Walau bagaimanapun amalan masyarakat melayu tidak sebegitu apabila hanya sedikit jambul rambut sahaja yang dipotong.

Bahkan menurut Islam juga pada hari ketujuh kelahiran akan dilakukan tahnik iaitu amalan memasukkan sesuatu yang manis contohnya seperti madu lebah atau buah tamar yang telah dihancurkan dan dipalitkan ke lelangit bayi.

Perkara-perkara yang bertentangan dengan sunah Rasulullah SAW yang diamalkan dalam upacara cukur jambul dalam masyarakat melayu termasuklah hari dijalankan upacara. Bagi masyarakat melayu upacara cukur jambul dijalankan pada hari ke 40 kelahiran bayi namun mengikut sunah perlu diadakan pada hari ketujuh kelahiran. Kedua-dua majlis turut mengadakan majlis akikah namun di dalam sunnah tidak disertai dengan majlis berzanji dan perarakan bayi oleh orang lelaki. Perbezaan lain yang terdapat termasuklah hanya mencukur jambul bayi, upacara adat berendoi iaitu dengan meletakkan bayi di dalam buaian yang dihias cantik disertai alunan marhaban turut diadakan disamping menyapu manisan di bibir bayi.

Kesemua perbezaan di atas jelas bertentangan dengan sunah namun masih diamalkan oleh masyarakat melayu. Persoalannya apakah pengaruh yang menyebabkan adat tersebut kekal dalam masyarakat melayu? Jika dilihat daripada barang-barang yang digunakan di dalam upacara majlis cukur masyarakat melayu terdapat item-item seperti bunga rampai, kelapa kuning yang ditebuk dan dibuangkan air, alat perenjis menggunakan daun sireh dan beberapa jenis daun lain, beras kuning, beras putih, air wangi dan juga bunga telur yang diberikan kepada tetamu. Berdasarkan barangan-barangan di atas terdapat unsur-unsur pengaruh Hindu dalam upacara cukur jambul melayu. Hal ini disebabkan oleh masyarakat melayu menerima pengaruh agama Hindu yang lebih awal iaitu seawal abad pertama masihi (N.J Krom, 1950) berbanding agama Islam yang datang kemudian. Menurut Al-Attas pengekalan pengaruh Hindu dalam budaya melayu walaupun selepas Islam datang disebabkan oleh usaha menyebarkan Islam oleh masyarakat tempatan yang masih menggunakan tradisi Hindu yang telah diubahsuai supaya boleh diterima di dalam Islam.

Kesimpulan

Walaupun Islam telah sampai ke Malaysia namun pengaruh-pengaruh adat yang masih dipengaruhi oleh pegangan kepercayaan sebelum ini masih kekal dalam diri masyarakat melayu. Selain daripada upacara cukur jambul terdapat juga adat-adat lain yang bercanggah dengan Islam yang masih diamalkan oleh masyarakat melayu pada hari ini antaranya adat bersanding dan menepung tawar, adat melenggang perut bagi wanita yang mengandung dan sebagainya. Seharusnya adat-adat dan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam perlulah ditinggalkan bagi mengelak kekeliruan dalam masyarakat. Hal ini kerana mematuhi tuntutan agama itu adalah lebih penting daripada menenuhi tuntutan adat semata. Maka marilah kita bersam-sama kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.


Rujukan:

Utusan Malaysia 6 April 2010. Buang Amalan Khurafat

Utusan Malaysia 11 September 2006. Cukur Jambul Amalan Bidaah Orang Melayu


Mohd Zariat Abdul Rani (2005). Antara Islam dan Hinduisme di Alam Melayu: Beberapa
            Catatan Pengkaji Barat.

Siti Salwah A. Majid (1993). Adat Cukur Rambut: Suatu Adat Orang-Orang Melayu yang
Tidak Diamalkan Lagi.

Ismail Awang (1983). Adat Melayu yang Bertentang dengan Akidah


Selasa, 24 September 2013

Sahabat

mungkin hikmah ALLAH S.W.T jadikan makhluknya berpasang-pasangan supaya kita saling menyokong antara satu sama lain. isteri yang menyokong suami, ibu bapa yang menyokong anak2, sahabat yg menyokong sahabatnya yg lain dan sebagainya. jika kita mempunyai sokongan maka apa sahaja yang kita lakukan akan berjaya dan jika kita gagal sekalipun kita akan tetap mampu untuk bangun semula. ikhlaslah dalam bersahabat, terima dan sokonglah sahabat anda dengan jujur dan bukan cuba untuk menjatuhkannya demi kerana hasad dengki...

Khamis, 12 September 2013

Kita Tidak Tahu...

Percaya atau tidak sebenarnya tidak semua yang kita impikan atau mahukan itu akan kita perolehi.
Memetik kata-kata daripada seorang sahabat yang pernah menasihati diri ini dahulu bahawa Allah SWT tidak memberikan apa yang kita mahu sebaliknya apa yang sebenarnya diperlukan oleh diri kita.
Melihat semula perjalanan hidup ini, aku seakan tidak percaya percaturan Allah SWT itu cukup sempurna dan cukup terbaik bagi hidup aku.
Sungguh besar hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap keputusan yang aku ambil sebelum ini.
Kadang-kadang aku merasa tidak pasti dengan setiap yang aku lakukan sehingga pernah merasakan yang aku tidak ditakdirkan untuk berada di situ.
Namun, hikmah Allah siapa yang tahu
Kini, aku tidak menyesali jalan yang aku pilih ini.